Archive for the ‘News’ Category

Akhirnya Sudirman Di Hargai

June 20, 2009

Oleh Norhayati Nordin [ yati@hmetro.com.my ]

SELEPAS beberapa artis tanah air dikurniakan gelaran Datuk, kini giliran Allahyarham Sudirman Haji Arshad pula. Selepas 17 tahun meninggal dunia, penghibur serba boleh itu dikurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP ) yang membawa gelaran Datuk.

Sudirman yang diwakili kakaknya, Datin Rodziah Arshad menerima pengurniaan itu sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-78 baginda di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, kelmarin.

Apapun, Sudirman memang layak menerima anugerah berkenaan.

Sebagai penyanyi nombor satu Asia, siapa yang tidak kenal dan menyukai lagu Sudirman.

Karya yang boleh dikatakan penuh dengan mesej dan pengalaman menjadikan Sudirman segar di ingatan peminat walaupun kini dia hanya dalam kenangan.

Bagi penulis lirik dan penerbit filem terkenal, Habsah Hassan, Sudirman memang wajar menerima gelaran berkenaan.

Namun, ia agak terlewat untuknya kerana dia lebih dulu menyahut panggilan Ilahi pada 22 Februari 1992.

Bagaimanapun, itu satu penghargaan besar terhadap jasanya.

“Sebagai sahabatnya, saya tumpang gembira atas penganugerahan itu.

“Secara tidak langsung, pembabitan Allahyarham dalam industri seni tanah air suatu ketika dulu masih diingati dan dihargai. Sayangnya, Allahyarham sudah pergi terlalu lama.

“Saya benar-benar rasa terharu. Tidak sangka, penat-lelah Sudirman selama ini yang pernah menghiburkan orang ramai tidak sesekali dilupakan. Bagi saya, anugerah itu bukan saja lebih bermakna untuk peminat Sudirman, tetapi buat keluarganya.

“Sejak kembalinya Sudirman ke hadrat Ilahi, pastinya ia satu memori besar yang tidak dapat dilupakan keluarga serta peminat setianya. Jadi, dengan adanya anugerah diterima itu boleh dikatakan satu ‘bonus’ untuk diwarisi keluarga Allahyarham,” katanya.

Bagaimanapun, Habsah, yang cukup mengenali Sudirman, menegaskan selagi orang ramai mengingati Sudirman dan jasanya, maka itu juga penghargaan sangat besar buat Allahyarham.

Menurutnya, kenangan yang ditinggalkan Sudirman takkan pernah hilang.

Seorang lagi sahabat baik Allahyarham, Noorkumalasari ketika dihubungi semalam, enggan memberi komen mengenai penghargaan itu.

Katanya, tiada apa lagi yang hendak dikatakan. Jika ia sudah diberi, apa salahnya menerima.

“Memandangkan Allahyarham Sudirman sudah tiada, saya tidak mahu komen apa-apa. Lagipun, kata orang tidak baik mereka yang sudah meninggal dunia disebut-sebut selalu. “Arwah akan sedih dan lebih baik hulurkan doa buatnya,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Ramlah Ram berkata, selayaknya Sudirman menerima gelaran berkenaan.

Menurut Ramlah, sebagai penghibur serba boleh dia sangat mengingati Allahyarham yang baik hati.

“Sekalipun saya tidak dapat mengenalinya dengan lebih lama, Sudirman ialah artis yang suka memberikan semangat kepada rakan lain.

“Macam saya dulu, tidak yakin untuk membuat persembahan, tetapi Allahyarham sedia membantu.

“Disebabkan saya masih baru, apa yang dilakukannya sangat membantu. Allahyarham juga tidak pernah berasakan dirinya hebat.

“Sikap merendah dirinya dan tidak sombong membuatkan saya begitu menghormati Allahyarham hingga kini. Dia (Allahyarham) istimewa,” katanya.

Menurut Ramlah, jasa Sudirman pada industri seni memang tidak boleh dipersoalkan sesiapa.

Bayangkan, lagu-lagunya sampai sekarang masih diingati generasi muda.

Hakikatnya, mereka tidak pernah kenal atau bersua dengan Sudirman.

Penyanyi dan ahli perniagaan e-dagang, ND Lala atau Amir Hamzah Salleh berkata, sebagai anak seni sememangnya tiada apa diinginkan ketika berkarya.

Paling penting ketika itu adalah dapat menghiburkan peminat dan karya dihasilkan diterima

“Justeru, sama ada dapat anugerah atau tidak, itu bukan persoalannya. Jadi, dalam soal ini istilah dapat anugerah awal atau tidak, usah diperkata. Apa yang utama, impak kepada pendengar yang membuatkan lagu dinyanyikan artis itu kekal diingati dan disukai.

“Begitulah yang berlaku kepada Allahyarham Sudirman. “Secara peribadi, pada saya Sudirman bukan hanya penghibur, tetapi individu yang memberi inspirasi. Lihat saja pada lagu-lagunya yang penuh dengan mesej seperti patriotik, cinta dan komedi,” katanya.

Kata ND Lala lagi, personaliti Sudirman yang hebat itu memang wajar bagi Allahyarham dianugerahkan Datuk walaupun sudah meninggal dunia.

Dalam soal ini, kita sendiri boleh lihat betapa lagu-lagu Sudirman diminati pelbagai lapisan usia daripada kanak-kanak hingga dewasa.

PROFIL

NAMA: Sudirman Haji Arshad

TARIKH LAHIR: 25 Mei 1954

ASAL: Temerloh, Pahang

KARIER: Penyanyi, pelakon, penulis dan peguam

KELUARGA: Anak bongsu daripada enam beradik

PENDIDIKAN: Ijazah Undang-Undang Universiti Malaya

BAPA: Arshad Hassan

IBU: Ramlah Dahlan

MENINGGAL DUNIA: 22 Februari 1992

PENCAPAIAN: Antaranya, Penghibur TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa, RTM 1978, Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu TV3 1987, Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1989 dan Penghibur Nombor Satu Asia 1989

ANUGERAH: Ahli Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong 1988, Ahli Mahkota Pahang daripada Sultan Pahang 1990, Johan Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong 1992 dan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang daripada Sultan Pahang (2009).

Kerajaan tidak cadang daftarkan blogger

June 19, 2009

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk mendaftarkan blogger dan mereka bebas untuk menyampaikan maklumat dalam Internet tertakluk kepada undang-undang negara demi menjaga keharmonian masyarakat, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

“Setakat ini kita tidak ada menyenaraikan atau mendaftarkan mana-mana blogger yang beroperasi dalam Internet, dan tiada cadangan untuk berbuat demikian,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat semalam ketika menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang mendakwa kerajaan lebih menumpukan kepada menyekat kebebasan blogger.

Ketika menjawab soalan asal Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran), Rais berkata, media cetak dan elektronik tertakluk kepada pelbagai undang-undang untuk memastikan kandungan yang disiarkan tidak bercorak fitnah atau hasutan yang boleh memporak-perandakan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau berkata, sebagai pemegang lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), kandungan yang disiarkan oleh penyiar swasta dikawal selia dengan rapi oleh kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan perlu mematuhi syarat-syarat khas lesen mengenai kandungan.

Mengikut Seksyen 211 dan 233 AKM 1998 tindakan boleh diambil terhadap individu yang memberi kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau yang jelik. Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun, atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata bagi kesalahan penyalahgunaan laman web pula, sebanyak enam kes melibatkan lapan tertuduh telah dihadapkan ke mahkamah kerana kesalahan menghina Sultan Perak.

Katanya, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri menguatkuasakan peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi mengawal selia dan memastikan bahan-bahan media cetak termasuk akhbar tidak mengandungi unsur-unsur yang boleh mengancam keselamatan dan menggugat negara.

Sekolah Terengganu Guna e-Book

May 27, 2009

ne_07.1

Oleh MANIRAH OTHMAN [ manirah.othman@kosmo.com.my ]

KUALA TERENGGANU – Seramai 10,438 murid tahun lima dari 127 sekolah di negeri ini akan mula belajar menggunakan buku elektronik ‘e-Book’ dengan penyerahan buku itu bermula semalam.

Ia merupakan fasa pertama daripada jumlah keseluruhan 25,000 unit e-Book yang akan diserahkan kepada pelajar pada tahun ini secara berperingkat melalui Pejabat Pendidikan Daerah.

Menurut Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, dengan pelaksanaan program itu, pelajar dapat menguasai teknologi maklumat dan tidak perlu lagi membawa beg yang berat ke sekolah.

Jelasnya, e-Book itu dilengkapi perisian buku-buku teks sekolah rendah serta perisian tambahan termasuk al-Quran, doa dan amalan solat.

Selain itu, dengan pelaksanaan program itu juga, Terengganu kini menyertai Portugal dan Venezuela iaitu negara yang menggunakan buku elektronik sepenuhnya menggantikan buku teks di sekolah.

“Pelaksanaan e-Book dengan akses Internet juga adalah usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan capaian pendidikan bagi menyediakan tenaga kerja dalam era k-Ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pelancaran buku elektronik itu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dekat sini semalam.

Menurut Ahmad, agihan e-Book sama seperti Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) iaitu pada penghujung tahun dan kemudahan itu mesti dipulangkan kembali kepada pihak sekolah.

Penangan Sang Bedal

May 22, 2009

sang bedal

Oleh Salman Hamat dan Mohd Firdaus Ibrahim [ am@hmetro.com.my ]

KUALA LUMPUR: Segelintir lelaki yang kemaruk seks, terutama berusia 60-an sanggup membelanjakan ribuan ringgit bagi mendapatkan alat sulit binatang buas dikenali ‘syahwat sang bedal’ semata-mata untuk menguatkan tenaga batin, apatah lagi ketika beraksi di ranjang.

Kesukaran mendapatkan alat sulit buaya itu menyebabkan segelintir pengamal tradisional menjualnya dengan harga RM1,000 dan RM3,000.

Namun, ia masih mendapat sambutan di kalangan warga emas untuk memiliki barangan terbabit.

Pemilikan ‘syahwat sang bedal’ itu mampu mengembalikan tenaga batin selain menambahkan kekuatan berlipat kali ganda.

Tidak cukup dengan itu, pemiliknya juga menggunakan beberapa jampi serapah untuk berfungsi seperti yang diinginkan.

Selain itu, alat sulit buaya itu juga didakwa boleh digunakan sebagai penunduk dengan hanya menghadiahkan senyuman, wanita yang diingini akan mampu dipikat.

Seorang bekas pemakai ‘syawat sang bedal’ yang dikenali sebagai Dolah, 50-an, berkata dia menggunakan alat sulit itu dua tahun lalu selepas tenaga batinnya berkurangan disebabkan faktor usia.

“Demi menjaga hati dua isteri yang masih muda, saya mengambil keputusan menggunakannya bagi memenuhi tuntutan batin mereka.

“Mulanya, saya menganggap ia kewajipan dalam memberikan nafkah batin kepada isteri dan situasi itu mendorong saya menggunakannya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, antara syarat yang perlu dipatuhi setiap pemakai ialah perlu mengikat ‘syahwat sang bedal’ di pinggang dan memastikan kedudukannya tepat di atas pusat setiap kali ingin melakukan hubungan kelamin.

“Pemakai juga disyaratkan mandi selain menyiram air dari bahagian atas melalui tangkal berkenaan dan mengenai alat sulit mereka. Ini satu kemestian bagi memastikan keberkesanan ketika melakukan hubungan kelamin,” katanya.

Dolah berkata, dia juga diarah membacakan jampi serapah dan menghembusnya pada tapak tangan sebelum disapu menggunakan setitik minyak kelapa pada alat sulit.

Dia juga mendakwa keberkesanannya memang tiada tandingan kerana sudah menggunakan ‘syawat sang bedal’ selama dua tahun.

“Apapun setiap perkara dalam dunia mempunyai pro dan kontra. Pemakainya dilarang sama sekali melakukan hubungan seks dengan wanita bukan mahram walaupun berjaya memikat mereka dengan mudah. Sesiapa yang melanggarnya akan menerima padah,” katanya.

Selain itu, pantang larang juga perlu dipatuhi iaitu mesti menanggalkannya dari pinggang sebaik selesai melakukan hubungan kelamin kerana boleh menyebabkan kemaluan terus tegang.

Katanya, akibat melanggar pantang terbabit, alat sulitnya kini tidak berfungsi biarpun pelbagai ubat dan rawatan dilakukan, termasuk berjumpa pakar perubatan moden serta bomoh.

“Saya menasihatkan orang ramai tidak tidak menggunakan tangkal durjana itu kerana ia hanya bersifat sementara dan memberikan kesan buruk kepada pemakai,” katanya.

Sementara itu, pengamal perubatan tradisional, Fadzil Othman, 46, berkata pemakai ‘syahwat sang bedal’ mendedahkan diri mereka kepada dosa kerana menggunakan nama Allah dan Rasul pada tempat yang salah.

“Sebenarnya mereka mempermainkan agama semata-mata untuk mendapatkan kepuasan seks. Mereka patut sedar kepuasan dan kekuatan yang diperoleh hanya bersifat sementara dan tiada benda yang kekal di muka bumi,” katanya.

Dia turut mendedahkan antara jampi serapah yang salah seperti “Bismillahirrahmanirrahim, dulu Allah kemudian Muhammad, keras syahwatku seperti besi, keras syahwatku seperti pedang, dengan berkat doa Lailahailallah Muhammad Rasulullah.”

Atau “Hai seladang putih mari diikat di pinggang aku, kuatkan aku seperti sekawan gajah di hutan, kuatkan aku seperti harimau mengaum di bukit, kuatkan syahwat aku seperti buaya dalam air, dengan berkat doa Lailahailallah Muhammad Rasulullah.”

Kopi Janda! dan Siri TV 3 Janda!

May 17, 2009

kopi janda

Lebih kurang jam 3am, dah ler frust giler sebab Arsenal tak mampu nak score dengan Man U, dan langsung Man U Juara EPL. Tukar-tukar channel keluar pulak iklan Kopi Janda. Dalam otak aku dok fikir, dah takde nama lain ke nak bubuh? Bila fikir lagi sekali, ianya salah satu strategi untuk melariskan product. Janda pun Janda ler, janji laris!

Macam produk kesihatan yang lain juga, yang berlambak di pasaran. Dengan pelbagai nama komersial yang pelik-pelik. Promosi adalah penting untuk melariskan jualan. Nama juga penting, biaq orang senang ingat.

Aku nak tunggu dan lihat, ARTIS mana yang akan menjadi DUTA untuk KOPI JANDA ni!

3 J

H1N1: Kes Kedua

May 15, 2009

16/05/2009 11:58am

PUTRAJAYA 16 Mei – Kes kedua influenza A (H1N1) dikesan di negara ini melibatkan seorang pelajar perempuan yang merupakan rakan kepada kes pertama yang dikesan semalam.

Kes kedua itu disahkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan pagi ini dan mangsa berada di Hospital Pulau Pinang dalam keadaan stabil.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Ramlee Rahmat mengumumkan mengenainya di sini hari ini.

– Utusan Online

H1N1: Kes Pertama

May 15, 2009

PUTRAJAYA (15 Mei 2009) : Malaysia semalam mencatat kes pertama Influenza A (H1N1) selepas seorang pelajar lelaki berusia 21 tahun yang baru dua hari pulang dari Amerika Syarikat, disahkan dijangkiti virus itu.

Dengan kes terbaru itu serta satu lagi kes yang turut dikesan di Peru semalam, menjadikan jumlah jangkitan H1N1 meningkat kepada 7,522 kes di 36 negara, manakala Mexico mencatat dua lagi kematian menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia akibat virus berkenaan 65 orang.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menasihatkan orang ramai supaya tidak panik kerana Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan sudah mengambil tindakan segera dan mematuhi segala protokol bagi memastikan wabak itu tidak merebak.

Sementara itu, Pemangku Menteri Kesihatan, Datuk Seri Kong Cho Ha, menasihatkan semua 198 penumpang dan anak kapal Penerbangan Malaysia (MAS) MH091 dari Newark, Amerika Syarikat yang dinaiki pelajar terbabit supaya menghubungi segera talian 03-88810200 dan 03-88810300 atau membuat pemeriksaan lanjut di hospital, klinik serta pusat kesihatan kerajaan.

Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.15 pagi Rabu lalu. (13 Mei 2009)

“Ada sebahagian penumpang yang transit di KLIA dan menuju destinasi lain termasuk Indonesia,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan di sini, petang semalam. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai kini menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva, Switzerland.

Kong yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pelajar itu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada jam 6.45 petang kelmarin selepas mengalami demam, sakit tekak dan badan.

Ujian makmal mengesahkan pelajar itu positif H1N1 dan mangsa kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh tetapi keadaannya dilaporkan stabil. Lima ahli keluarga pelajar itu pula dikuarantin di rumah selama tujuh hari sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kementerian juga sudah memulakan siasatan terhadap mereka yang mungkin berhubungan dengan pelajar itu, termasuk anak kapal dan penumpang penerbangan itu.

“Kita juga bekerjasama dengan MAS untuk menghubungi penumpang pesawat itu dan berharap mereka yang mempunyai simpton virus itu supaya mendapat pemeriksaan segera secara sukarela,” katanya.

Ditanya bagaimana mangsa boleh melepasi mesin pengimbas di KLIA, Kong berkata simptom virus itu tidak muncul dengan serta merta dan memerlukan sehari atau dua hari untuk mengesannya.

“Tapi jika sesiapa yang mempunyai demam atau simptom lain, pasti mesin pengimbas dapat mengesannya,” katanya.

Kong berkata, Kementerian Kesihatan turut melaporkan kepada WHO mengenai kes pertama itu dan orang ramai akan dimaklumkan mengenai perkembangan virus berkenaan dari semasa ke semasa.

Katanya, sejak virus itu menular kerajaan meletakkan tahap amaran fasa lima dan sudah menjalankan banyak pemeriksaan terhadap kes yang disyaki tetapi semuanya negatif.

Kos Haji Naik?

May 14, 2009

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak menolak kemungkinan akan menaikkan tambang haji mulai tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada keputusan kerajaan Arab Saudi yang masih dalam proses perbincangan mengenai perkara tersebut.

“Kita tunggu perkembangan akhir daripada pihak kerajaan Arab Saudi. Kita tidak tahu macam mana lagi, sama ada kekal, naik atau macam mana.

“Sudah tentu bila ada kemudahan yang telah dinaik taraf dan diperbaiki dari pelbagai sudut maka ia akan melibatkan semua sudut termasuk tambang,” katanya pada sidang media di Persidangan Antarabangsa Pelancongan Muslim, Haji dan Umrah kali ketiga di sini semalam.

Kadar tambang haji Lembaga Tabung Haji (LTH) sekarang ialah RM9,445 termasuk subsidi RM2,600 yang diberikan oleh LTH.

Tambah Jamil, ketika ini, beberapa prasarana baru sedang dalam pembinaan termasuk bangunan dan sistem pengangkutan yang lebih selesa kepada bakal-bakal haji pada tahun ini.

LUTH

Google Map versi Malaysia

May 14, 2009

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA (ammarjazlan.madlela@kosmo.com.my)

Kira-kira 15 juta pengguna Internet di negara ini berpeluang mendapat pelbagai manfaat apabila syarikat enjin carian Internet terkemuka, Google Inc. melancarkan platform carian tempatan, Google Maps Malaysia mulai semalam.

Melalui platform tersebut, pengguna boleh mendapatkan maklumat geografik tempatan seperti peta, imej satelit, laluan pemanduan, alamat kediaman dan pusat perniagaan yang tersenarai di seluruh negara dengan hanya menaip kata kunci dalam ruang carian yang disediakan.

Pengurus Produk, Google Asia Tenggara, Andrew McGlinchey berkata, platform itu yang dibangunkan sejak beberapa bulan lalu bukan sahaja boleh diakses melalui komputer malah menerusi telefon bimbit.

“Misalnya, pengguna yang mencari sesuatu lokasi di Kuala Lumpur boleh mengetahui masa yang diperlukan untuk ke lokasi tersebut.

“Pada masa yang sama, mereka berpeluang mencari pelbagai maklumat sampingan yang diperlukan seperti lokasi tempat makan pilihan dan penginapan.

“Apa yang menariknya, selain memaparkan maklumat dalam bahasa Melayu, Google Maps Malaysia juga boleh diakses dalam pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Cina dan Tamil,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Google Maps Malaysia di sini semalam. Turut hadir ialah Ketua Pemasaran, Google Inc. Asia Tenggara, Derek Callow.

Tambah Andrew, konsep interaktif yang diaplikasikan oleh platform tersebut membolehkan pengguna tempatan berkongsi maklumat dengan pengguna Internet lain di seluruh dunia.

google-map-msia

UM, UKM, USM, UTM dan UPM

May 11, 2009

Untitled-2

Untitled-11