Archive for the ‘Jangan Bersedih’ Category

003. Hari Ini Milik Anda

April 14, 2009

 

Apabila anda berada di pagi hari, janganlah menunggu waktu petang, kerana hari ini adalah kesempatan untuk hidup. Oleh kerana itu, anda tidak perlu memikirkan hari kelmarin yang telah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukan yang menghiasinya. Tidak juga dengan hari esok yang belum tentu datang.

 

Hari yang saat ini mataharinya menyinari anda, dan siangnya menyapa anda, membuat anda mampu memandang alam sekitar. Itulah hari anda, maka manfaatkan hari ini sebaik-baiknya! Maka anggaplah masa hidup anda hanya hari ini sahaja, atau seakan-akan anda dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga.

 

Falsafah ini akan menyelamatkan kehidupan anda, sehingga tidak tersepit di antara dua kehidupan, masa lalu dengan berbagai kesedihan dan kegundahan yang terjadi masa itu, dan masa depan yang penuh ketidakpastian dan seringkali menakutkan.

 

Pusatkanlah seluruh perhatian dan kreativiti anda untuk satu hari sahaja. dan pada hari inilah, anda harus bertekad mempersembahkan kualiti solat yang paling khusyu’, membaca dan memahami Al-Quran secar mendalam, merenungi kehidupan dunia dengan sepenuh hati, keseimbangan dalam segala hal, keindahan dalam akhlak, kerelaan dengan semua yang Allah berikan, perhatikan terhadap keadaan sekitar, perhatian terhadap kesihatan jiwa dan raga serta memberi manfaat kepada orang lain.

 

Untuk hari ini, anda harus mulai membahagi waktu dengan baik. jadikanlah setiap minit seakan ribuan tahun dan setiap detik seakan ratusan tahun; tanamkan kebaikan sebanyak-banyaknya pada hari itu; memelihara indahnya kehidupan, meminta ampunan dari berbagai dosa yang telah dilakukan, mengingat Tuhan, dan mempersiapkan diri utnuk pergi jauh (mengadapNya). Dengan demikian, hidup anda pada hari ini akan penuh kebahagiaan, merasa aman dan tenteram, serta menerima rezeki, isteri, suami, anak-anak, tugas-tugas, tempat tinggal dan ilmu pengetahuan dengan tangan terbuka dan rasa syukur.

 

Terimalah semua yang telah Allah berikan kepadamu dan jadilah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur. (Al-A’raf: 144)

 

                Hidup anda pada hari ini juga tanpa kesedihan, gangguan, kemarahan, kedengkian dan kebencian atau sakit hati.

 

                Jangan lupa, hendaklah anda mengukir sebuah tulisan dalam hati anda atau di meja tempat anda bekerja: “Hari ini adalah milikmu.”  Yakni; apabila hari ini anda dapat memakan nasi yang harum baunya, maka apakah anda masih berfikir tentang nasi basi yang telah anda makan kelmarin, yang akan membahayakan kesihatan anda? Mungkin anda masih berfikir tentang nasi yang anda makan esok hari, padahal nasi tersebut masih ada dalam angan-angan.

 

Apabila pada hari ini anda dapat minum air dingin yang menyegarkan, maka mengapa anda harus bersedih atas air masin yang anda minum kelmarin, atau menginginkan air esok yang masin dan panas?

 

Seandainya anda percaya akan diri sendiri dan mampu mengerjakan segala sesuatu dengan semangat dan tekad yang kuat, anda akan dapat menundukkan diri anda untuk berpegang pada prinsip; “Masa hidupku hanyalah pada hari ini.” Prinsip inilah yang akan menyibukkan diri anda setiap detik untuk selalu memperbaiki keadaan, sekaligus berusaha meningkatkan mutu kerja dan membersihkan amal perbuatan anda.

 

Dan itu, akan membuat anda berkata dalam hati: “Hanya hari ini aku berkesempatan untuk mengatakan yang baik-baik saja; tidak bercakap kotor dan yang menjijikkan, tidak akan pernah mencela, mengherdik dan juga membicarakan keburukan orang lain. Hanya hari ini aku berkesempatan mengemas rumah dan pejabat agar tidak berserabut dan berselerak. Dan kerana hanya hari ini saja aku akan hidup, maka aku akan memperhatikan kebersihan tubuhku, kerapian penampilanku, kebaikan tutur kata dan tindak-tandukku.”

 

Kerana hanya akan hidup hari ini, maka kau akan berusaha sekuat tenaga untuk taat kepada Tuhanku, mengerjakan solat sesempurna mungkin, membekali diri dengan solat-solat sunat nafilah, berpegang teguh pada Al-Quran, mengkaji dan mencatat segala yang bermanfaat yang ada di dalamnya.

 

Aku hanya akan hidup hari ini, kerana itu aku akan menanamkan dalam hatiku semua nilai keutamaan dan mencabut darinya pohon-pohon kejahatan yang kutanam sampai ke akar-akarnya, dan mematahkan ranting-rantingnya yang berduri; seperti sifat takbur, ujub, riya’ dan buruk sangka.

 

Hanya hari ini aku akan dapat menghirup udara kehidupan, maka kau akan berbuat  baik kepada orang lain dan menghulurkan tangan kepada siapapun. Aku akan menziarahi mereka yang sakit, menghantarkan jenazah, memberi makan orang kelaparan, menolong orang yang sedang kesulitan, membantu orang yang dizalimi, meringankan penderitaan orang yang lemah, mengasihi mereka yang menderita, menghormati orang-orang alim, menyayangi anak kecil, dan berbakti kepada orang tua.

 

Aku hanya akan hidup hari ini, maka kau akan mengucapkan: “Wahai masa lalu yang telah berlalu dan selesai, tenggelamlah seperti mataharimu. Aku tak akan pernah menangisi pemergianmu, dan kamu tidak akan pernah melihatku termenung sedetik pun untuk mengingatimu. Kamu telah meninggalkan kami semua pergi dan tidak akan kembali lagi.”

 

“Wahai masa depan, engkau masih dalam keghaiban! Maka kau tidak akan pernah bermain dengan khayalan dan menjual diri hanya untuk sebuah dugaan. Aku pun tidak bakal memburu sesuatu yang belum tentu ada, kerana esok hari mungkin tidak ada sesuatu; esok hari adalah sesuatu yang belum diciptakan dan tidak ada satu pun darinya yang dapat disebutkan.”

 

“Hari ini milik anda”, adalah ungkapan yang paling indah dalam “kamus kebahagiaan” kamus bagi mereka yang menginginkan kehidupan yang paling indah dan menyenangkan.

002. Yang Lalu, Biarlah Berlalu

March 27, 2009

                Mengingati masa lalu dan menghadirkan kembali dalam kehidupan kita sekarang, kemudian bersedih di atas kedukaan dan kegagalan di dalamnya merupakan tindakan yang bodoh dan gila. Itu, sama ertinya dengan membunuh semangat, membunuh harapan dan menghalangi orang untuk menjalani kehidupan seadanya.

 

                Bagi orang yang berfikir, peristiwa masa lalu akan dilipat dan tidak akan dilihat kembali. Kita harus mengurung dan melupakannya di dalam penjara, mengikatnya dengan tali yang sangat kuat agar tidap dapat keluar melihat cahaya. Kerana bagaimanapun, berbagai peristiwa tersebut hanya sebahagiaan dari masa lalu dan sekarang semuanya telah berakhir.

 

Dengan demikian, tidak ada lagi kesedihan, kedukaan dan kegagalan lain. Semuanya tidak  akan dapat berulang dan hidup kembali, kerana ianya memang sudah tiada.

               

                Janganlah anda hidup di dalam mimpi-mimpi buruk masa lalu, atau di bawah bayang-bayang kesedihan masa lalu. Angkatlah diri anda dari fantasi tersebut! Apakah anda menginginkan berbagai musibah dan pengorbanan tersebut berulang kali? Apakah anda mengharapkan matahari kembali ke tempat asalnya, bayi ke perut ibunya, air susu kembali ke payudara si ibu, dan air mata ke dalam kelopak mata, padahal semuanya hanya akan mengalirkan kembali air mata anda?

 

                Dengan kembali ke masa lalu, bererti anda akan merasakan kembali keresahan. Masa lalu tak ubahnya seperti api yang terus membakar dan melemparkan diri ke masa lalu dan hal tersebut merupakan keadaan yang sangat menyedihkan, sekaligus menakutkan.

 

                Membuka kembali lembaran masa lalu hanya akan merosakkan suasana yang ada dan menyia-yiakan perjuangan yang selama ini sudah dilakukan. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengingatkan kita dengan umat pada masa lalu serta apa yang telah mereka perbuat:

 

Itulah umat yang telah lalu… (Al-Baqarah: 134)

 

                Semuanya telah berlalu dan tidak akan berulang kembali. Dan tidak ada manfaatnya memutar roda sejarah sekadar untuk melukiskan bencana pada zaman itu.

 

                Orang yang berusaha kembali ke masa lalu, adalah tidak ubah seperti irang yang menggiling tepung, padahal dirinya sendiri tergiling di dalamnya. Ada ungkapan nenek-moyang kita dahulu yang patut direnungkan oleh orang yang menangisi masa lalu: “Janganlah kalian mengeluarkan mayat-mayat itu dari kuburnya.”

 

                Dalam sebuah riwayat diceritakan, bahawa terdapat segolongan orang yang mengerti bahasa binatang. Orang-orang tersebut bertanya kepada keldai: “Mengapa emgkau tidak mahu merenungi apa yang telah berlaku?” Keldai itu menjawab: “Kerana aku tidak suka kebohongan.”

 

                Bencana dapat menimpa apabila kita lemah menghadapai masa kini dan menyibukkan diri dengan masa lalu. Kita menyia-nyiakan keindahan istana yang kita miliki dan mempertaruhkan semuanya demi sebuah penampilan masa lalu yang telah usang. Padahal, seandainya seluruh manusia dan jin bersatu untuk mengembalikan semua hal yang telah berlalu, nescaya mereka tidak akan mampu melakukannya, kerana pada dasarnya semuanya mustahil.

 

                Manusia sebenarnya tidak perlu melihat masa lalu dan memalingkan wajahnya ke belakang, kerana angin akan terus berhembus ke depan; air mengalir ke depan; setiap khalifah akan berjalan ke depan. Oleh kerana itu, janganlah menyalahi sunnah kehidupan.

Jangan Bersedih

March 27, 2009

jb001-300

Aku beli buku poket ini pada 17 Nov 2008 (waktu aku tengah bersedih). Harganya RM9.80. Buku ini mempunyai 3 siri. Aku beli siri satu dahulu. Aku akan sisipkan beberapa isi kandungan yang ada di dalam siri ini, sebagai panduan dan motivasi untuk diri sendiri, termasuk para pembaca sekalian.

Aku mulakan dengan isi kandungan yang bernombor 001.

001. Merenunglah dan Bersyukurlah

 

Setiap manusia seharusnya selalu mengingati nikmat yang Allah kurniakan kepada anda. Kerana nikmatNya telah meliputi dari hujung rambut hingga ke bawah kedua telapak kaki, kesihatan badan, keamanan negara, hutan belantara, udara dan air, serta masih banyak lagi lainnya adalah nikmat yang telah diberikan Allah kepada anda.

 

… sekiranya kalian menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya… (Ibrahim: 34)

 

Demikian besar nikmat Allah yang telah dianugerahkan kepada anda. Dunia ini, beserta apa yang ada di dalamnya telah diciptakan Allah untuk anda, tetapi anda tidak pernah menyedarinya; anda menguasai kehidupan, tetapi tidak pernah mengetahuinya.

 

… Dia telah memberikan nikmat-nikmatNya secara sempurna kepada kalian, baik zahir mahupun yang batin.. (Luqman: 20)

 

Anda telah diberi sepasang mata, satu lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki.

 

Maka nikmat Tuhan kalian yang manakah yang layak anda dustakan? (Ar-Rahman: 13)

 

Apakah anda mengira bahawa , berjalan dengan kedua kaki itu merupakan sesuatu yang biasa, padahal masih ramai manusia lain yang tidak mempunyai kaki? Apakah anda mengira bahawa berdiri tegak di atas kedua betis itu merupakan sesuatu yang mudah, padahal masih ramai manusia lain yang kehilangan kedua betisnya? Apakah anda merasai nikmatnya tidur dengan memejamkan kedua mata, sementara masih ramai manusia lain yang tidak dapat tidur kerana sakit yang menanggungnya? Pernahkah anda merasa nista ketika anda dapat menjamu makanan yang lazat dan minuman yang sejuk, sementara masih ramai orang lain yang tidak dapat makan dan minum hanya kerana penyakit yang mereka derita?

 

Renungkanlah! Betapa besarnya fungsi pendengaran, di mana Allah menjauhkan anda dari ketulian; penglihatan anda akan terhindar dari kebutaan; dan ingatlah kulit anda yang cantik yang terhindar dari penyakit gatal dan kudis. Perhatikanlah juga fungsi otak anda! Allah telah memberikan kesihatan akal sehingga terhindar dari kegilaan yang menghinakan. Apakah anda ingin menggantikan mata anda dengan emas sebesar gunung Uhud? Inginkah anda menjual pendengaran anda seharga perak satu bukit? Apakah anda mahu membeli istana-istana yang menjulang tinggi dengan lidah anda, namun anda bisu? Apakah anda mahu menukar kedua tangan anda dengan butiran-butiran permata dan berlian, tetapi tangan anda kudung?

 

                Anda sebenarnya telah meraup kenikmatan yang tiada terhitung dan kesempurnaan tubuh badan, tetapi sayangnya anda tidak menyedarinya. Bahkan, anda hidup dalam ketidakpastian dan terperangkap dalam kesedihan, padahal anda masih memiliki roti yang segar untuk disantap, air yang segar untuk diteguk, dapat tidur dengan nyenyak, dan kesihatan anda yang stabil.

 

                Anda seringkali memikirkan sesuatu yang telah hilang, sehingga anda lupa mensyukuri apa yang ada di hadapan anda. Anda merasa sedih kerana kekurangan material, padahal anda masih memiliki kunci kebahagiaan, memiliki setompok kebaikan, kenikmatan, dan masih banyak yang lainnya. Oleh kerana itu, renungkanlah dan bersyukurlah!

 

Pada diri kalian juga terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah. Apakah kalian tidak memperhatikannya? (Adz-Dzariyat: 21)

 

                Lihatlah diri anda, keluarga, tempat tinggal, pekerjaan, kesihatan, sahabat, dan dunia sekeliling anda. Dan janganlah termasuk di dalam golongan:

 

Mereka mengetahui bahawa semua nikmat yang ada berasal dari Allah, tetapi mereka mengingkarinya… (An-Nahl: 83)